Thursday, January 12, 2012

buat ibu tersayang...


Tiada yang indah dapat aku rasakan bila memandang wajah ibuku yang sedang tersenyum senang, terima kasih ibu kerana melahirkan aku. Mungkin ucapan tak sama nilainya dengan pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu-ibu di dunia, namun ucapan ini adalah sebagai penghargaan diriku buat ibuku yang tersayang. Andai tiada ibu, kita tidak akan dapat melihat dunia indah ciptaan Allah s.w.t. Kita tidak akan menjadi seorang pelajar yang cemerlang, individu yang berpangkat tinggi dalam kerjaya masing-masing jika ibu kita mengabaikan kehidupan kita ini.

Janganlah kita mencontohi sifat Si Tanggang yang lupa akan jasa ibunya dan juga derhaka kepada ibunya, hingga dia disumpah menjadi batu. Jangan sampai kita dianggap sebagai anak yang derhaka bila kita mengabaikan kehidupan ibu kita. Mari kita ambil contoh kisah salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang telah mengecilkan hati ibunya dan tidak mampu untuk mengucapkan dua kalimah syahadah di saat kematian menjemputnya.

Alqamah adalah seorang pemuda yang baik dan taat, rajin mendirikan solat, banyak berpuasa dan bersedekah. Tetapi, Alqamah dikatakan lebih mengutamakan isterinya berbanding ibunya lalu ibunya makan hati berulam jantung dan tersinggung dengan perbuatan anaknya. Akibatnya, Alqamah tidak mampu mengucapkan dua kalimah syahadah pada penghujung hayatnya.

Akhirnya Rasulullah SAW bertindak untuk membakar Alqamah hidup-hidup di hadapan ibunya jika ibunya tidak memaafkannya. Akhirnya tindakan Rasulullah SAW itu menyebabkan ibunya segera memaafkannya dan Alqamah dengan mudah mengucapkan dua kalimah syahadah.

Selepas dimandi, dikafan, disolat dan dikebumikan, Rasulullah SAW berdiri di tepi kuburnya lalu bersabda bermaksud: “Wahai kaum Muhajirin dan Ansar! Sesiapa yang lebih mengutamakan isterinya daripada ibunya, nescaya akan ditimpa kepadanya laknat Allah dan juga tidak akan diterima daripadanya taubat dan tebusannya.” (Hadis riwayat Abu al-Laith)

Kisah Alqamah dengan ibunya mengajar kita betapa seorang ibu sanggup berkorban apa saja dalam dunia demi keselamatan dan kesejahteraan anaknya. Oleh sebab itulah, Islam mewajibkan anak menunaikan segala hak ibu dan melayani ibunya dengan sebaik mungkin.

Dalam pada itu, Islam mengharamkan anak daripada melakukan sesuatu yang boleh menyakit dan menyinggung perasaan ibu. Pendek kata, ibulah insan paling berhak mendapat layanan terbaik daripada anak selaras pengorbanan dilakukannya.

Bukankah Rasulullah SAW pernah ditanya seorang lelaki seperti hadis bermaksud: “Ya Rasulullah! Siapakah yang lebih berhak saya berbuat baik? Jawab Rasulullah SAW: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Ujar Baginda: Ibumu. Lelaki itu bertanya sekali lagi: Kemudian siapa lagi? Jawab Baginda: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Siapa lagi? Baginda menjawab: Bapamu.”

Hadis Rasulullah SAW ini mengangkat kedudukan istimewa ibu sehingga berbakti kepada ibu mengatasi berbakti kepada orang lain, walau kepada bapa sekalipun. Malah, Rasulullah SAW menyebut berbakti kepada ibu sebanyak tiga kali berturut-turut dalam hadis itu, barulah Baginda menyebut berbakti kepada bapa, sekali gus menunjukkan betapa besarnya jasa dan pengorbanan ibu terhadap anak.

Walau bagaimanapun, kita tidak seharusnya melupakan peranan bapa bagi menjamin keselesaan dan kebahagiaan hidup sesebuah keluarga. Justeru, kita seharusnya menghormati dan menyayangi ibu kita tanpa mengabaikan tanggungjawab dan kasih sayang terhadap bapa.

Begitu juga sebaliknya, kita memberikan penghormatan dan kasih sayang kepada bapa tanpa mengabaikan tanggungjawab dan kasih sayang terhadap ibu. Ibu bapa berperanan besar dalam membentuk kehidupan, kelangsungan dan kebahagiaan anak mereka.

Di sini aku ingin paparkan lirik lagu nyanyian Aishah yang bertajuk Syurga di telapak kaki ibu. Kepada semua pembaca, marilah kita hayati dan muhasabah diri masing-masing :

Syurga Di Telapak Kaki Ibu

Duhai apakah gerangan budi balasan
Bagi insan melahirkan, membesarkan

Bercucuran airmata bila mengenangkan
Betapakah besar budi ibunda berikan
Siang malam menderita
Hingga entah bila
Sungguh besar pengorbanan
Ibunda berikan

Tiada bahagia jika tiada
Doa puja restu
Syurga itu telapak kaki ibu
Terima kasih buat emakku yang paling ku sayangi. Kalau tiada mak, mungkin takkan lahir diriku ke dunia ini. Hargai dan sayangilah mereka sementara mereka masih ada. Jangan diabaikan mereka

No comments:

Post a Comment