“ Dunia ini adalah lautan yang dalam dan telah banyak manusia yang tenggelam di dalamnya, oleh kerana itu sediakanlah perahu untuk belayar di atasnya, perahu tersebut ialah taqwa kepada Allah.”
( Lukman Al-Hakim )
Assalamualaikum w.b.t,
Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi ya Rabbi. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhammad s.a.w yang telah membimbing umat manusia ke jalan yang benar dalam mencari keredhaan Allah s.w.t.
Sahabat yang dirahmati Allah sekalian,
Bila disebut taqwa, ramai yang menterjemahkan ia sebagai takutkan Tuhan. Ini tidak betul kerana taqwa bukan bererti takut. Taqwa pada Tuhan bukan bermaksud takutkan Tuhan. Takut kepada Tuhan hanyalah satu daripada sifat mahmudah yang terangkum dalam sifat taqwa tetapi ia bukan taqwa. Takut dalam bahasa Arab ialah khauf/khasya.
Taqwa berasal dari perkataan waqa-yaqi-wiqoyah yang bererti memelihara. Hujahnya ialah ayat Al-Quran seperti berikut :
Maksudnya : “ Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu memelihara diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka.”
( Surah At-Tahrim : 6 )
Taqwa atau wiqayah telah disalahertikan. Maksudnya telah disempitkan. Sebenarnya ia adalah lebih luas dan global. Ia adalah gudang mahmudah dan merupakan himpunan segala sifat-sifat mahmudah. Di situ ada sabar, redha, pemaaf, pemurah, kasih sayang dan sebagainya. Seluruh sifat mahmudah inilah taqwa yang membawa keselamatan dunia dan akhirat. Oleh yang demikian, kalau dikatakan ittaqullah, maknanya yang sebenar ialah ‘ hendaklah kamu mengambil Allah sebagai pemelihara’.
Ciri-ciri orang yang bertaqwa:
Qs Ali Imron ( 3 ) : 133-136
1- Istiqamah dalam berbuat kebaikan.
2- Mampu mengendalikan emosi.
3- Memiliki jiwa pemaaf.
4- Suka berbuat kebaikan.
5- Segera bertaubat ketika berbuat kesalahan. Qs Azzumar : 53
6- Beriman kepada masalah yang ghaib.
7- Mendirikan solat.
8- Memiliki kepekaan sosial.
9- Orang yang mengimani kitab-kitab yang Allah turunkan.
10- Mereka yakin pada kehidupan akhirat.
Para sahabat,
di akhiri di sini dengan penjelasan Imam Ghazali tentang manfaat taqwa :
“ Taqwa itu harta terpendam yang berharga sekali jika engkau mendapatkannya. Maka seolah-olah berkumpul kebaikan dunia dan akhirat di dalam taqwa itu. Dan perhatikanlah apa yang difirmankan dalam Al-Quran mengenai taqwa. Banyak sekali Allah memberi keuntungan pahala yang besar dan keselamatan yang disandarkan pada sifat taqwa.”
Wassalam.
No comments:
Post a Comment