“Setiap yang bernyawa akan merasai kematian…”
Jadi bagaimana dengan persiapan kita untuk berada di alam lain? Adakah kita benar-benar bersedia menghadapinya dengan amalan yang hanya secebis? Fikir dan renung-renungkan.
***************
Antara pesanan Rasulullah SAW kepada kita adalah:
Ø Menggalakan umat solat malam (Qiyamullail).
Ø Tunaikan solat 2 rakaat dalam kegelapan malam demi kesunyian di kubur.
Solat adalah penggerak utama. Solat malam ini tidak dapat ditandingi sebarang ibadah yang lain. Ganjarannya sangat besar di sisi Allah. Solat malam juga membekalkan para mukmin dengan potensi dan daya juang yang tidak dapat digambarkan betapa hebatnya.
Firman Allah dalam surah al-Muzzammil ayat 6, yang bermaksud:
“Sesungguhnya, bangun malam (bersolat dan beribadah) itu lebih kuat (mengisi jiwa), dan (bacaan al-Quran pada waktu itu) lebih berkesan.”
***************
“Hendaklah kalian mengejarkan solat diwaktu malam, justeru itu adalah amalan orang-orang sebelum kamu dan yang mendekatkan kamu kepada Tuhanmu, ia penembus segala dosa, pencegah segala keburukan dan menghapuskan segala penyakit yang ada dalam badan seseorang.” (HR Tabrani & Mizi)
Huraian ini jelas kepada kita bahawa solat malam dapat membentuk menjadi hamba Allah yang Rabbani (kerap berhubung dengan Allah), berjiwa cerah, hati yang peka dan berfikiran mantap.
Selain itu solat malam tidak dapat dijadikan amalan kebiasaan kecuali dengan menggagahkan diri, melawan syaitan dan nafsu khasnya pada peringkat awal.
***************
Apabila seseorang hendak tunaikan solat malam, datanglah malaikat seraya berkata kepadanya “bangunlah hari telah pagi, solat dan ingatlah Allah”. Dalam masa yang sama syaitan pun datang memujuk, “malam masih panjang, engkau boleh tidur lagi, nanti engkau bangunlah”. Jika ia bingkas bangun dari tempat tidurnya untuk solat maka badannya akan menjadi ringan, cergas dan sihat. Jika ia patuh pada syaitan tidur hingga siang, syaitan akan ketawakannya.
Rasulullah SAW pernah membayangkan tentang kubur dan siksanya. Kubur adalah anak tangga pertama ke akhirat. Jika selamat, peringkat seterusnya lebih mudah tetapi jika tidak selamat maka akan mengalami kesulitan untuk melangkah ke peringkat seterusnya. Rasulullah SAW juga mengaitkan antara solat tengah malam dengan mendapat ketenangan dan kedamaian jiwa di dalam kubur. Justeru, sama-samalah kita merebutnya.
***************
- Setelah jauh memacu kata-kata, akhir sekali saya ingin memohon maaf pada semua jika apa yang saya sampaikan ini tidak sampai ke hati anda, marilah kita muhasabah diri bersama dan sama-sama mengamalkannya. Moga Allah redha dengan kita semua. Wallahu`alam..
No comments:
Post a Comment