Wednesday, April 11, 2012

hidup, satu pilihan.


Perjalanan hidup ibarat meneroka lautan luas.. Ombaknya besar mengganas memusnahkan segala yang berlayar di atasnya, memuntahkan isinya di tebing pantai. Ada yang berjaya memaut pada serpihan-serpihan pecahan sampan, ada yang pandai berenang bergerak ke tepi, ada yang gagal lalu mati.

Serpihan-serpihan sampan adalah harapan yang masih ada tatkala jiwa jatuh putus asa.
Yang pandai berenang adalah insan-insan yang teguh pada keyakinan iman dan mara dengannya.
Yang mati pula adalah antara dua- mati dalam kegagalan dan putus harapan, atau syahid di medan perjuangan.

Kita adalah insan yang menentukan nasib kita sendiri. Kita punyai sampan iaitu kehidupan yang kita sendiri nakhodai. Allah menunjukkan jalan, memberi peta, pilihan kita sama ada mahu menuruti-Nya atau memilih jalan sendiri yang membawa celaka.

Tiada siapa yang dapat mengawal kita melainkan kita sendiri yang mengawalnya.
Tiada siapa yang dapat memaksa kita melainkan kita sendiri yang berkehendakkan sesuatu padanya.
Nyata, hidup ini satu pilihan dan kita yang membuat pilihan itu.

Hidup ini pada dasarnya milik kita, pada hakikatnya milik Allah. Apa yang kita lakukan sekarang menentukan ke mana kita akhirnya. Benar Dia maha mengatur segalanya, tetapi Dia telah memberi peluang kepada kita untuk membuat pilihan. Ke arah kiri, mahupun kanan. Pilih ke kiri, neraka jawabnya. Pilih ke kanan, syurga menanti di sana. Salah pilihan, salah lah pengakhiran.

Kita menggenggam kunci kehidupan kita sendiri. Carilah pintu yang benar, menerusi pandangan sisi hati yang berkehendakkan kepada imaanubillah, keimanan kepada Allah. Jalan tersergam di hadapan. Jalan yang sempit yang membawa kepada kehidupan, jalan yang luas yang membawa kepada kehancuran. Betapa ramai yang memilih jalan yang luas itu, sedikit orang yang melalui jalan sempit itu.

" Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ihwalmu. "
-QS : 47 :31

Sememangnya kehidupan itu sendiri adalah ujian. Ujian yang datang dalam berbagai rupa. Kegembiraan juga satu ujian, ujian untuk menguji sama ada hamba itu bersyukur dan beriman kepada-Nya dalam keadaan senang. Kesedihan jua satu ujian supaya hamba kembali taat kepada-Nya.

Dakaplah kehidupan ini dengan penuh rasa rendah di hadapan-Nya, iman tawakkal takut cinta harap. Hanya pada Dia. Kerana hanya dengan rahmat-Nya, hamba itu bisa beroleh syurga.....

No comments:

Post a Comment