Malas. Satu kata yang kadangkala menjadi zikir dalam hidup kita. Seringkali dilafaz oleh lidah apabila sehingga terlupa bahawa kata-kata itu adalah doa. Tertanya-tanya juga, apakah fisiologi perubahan yang berlaku didalam diri tatkala kita diserang virus malas. Tidak pasti sama ada pakar psikiatri dan psaikologi mempunyai jawapan dan penerangan kepada perubahan dalam diri yang berlaku tatkala kita dilanda malas.
Malas. Tidak sama sekali dikira sebagai satu penyakit ataupun masalah sama ada masalah fizikal ataupun masalah psaikiatri, namun yang pasti semua merasakan ia adalah satu masalah. Yang pasti tiada ubat, pil mahupun suntikan untuk merawat penyakit malas ini. Tiada siapa pun yang suka apabila dirinya dilanda serangan malas. Kadangkala mencari pil-pil mujarab untuk ditelan bagi menghilang rasa malas.
Sukar. Itulah satu kata bagi menggambarkan keadaan diri bila diserang penyakit malas. Sukar bila terpaksa bergelut dengan diri melawan rasa. Berperang dengan rasa bersalah dan dosa. Perkara yang sering melanda diri adalah apabila diserang penyakit malas untuk belajar, kadangkala terasa malas nak menyiapkan amanah dakwah yang telah diberikan, kadangkala pula terasa malas dalam meneruskan istiqamah dalam beribadah sunat. Gejolak jiwa berperang dengan rasa malas dan bersalah. Hanya tuhan yang tahu.
Tabah. Dikala itu, hati perlu tabah. Perlu kuat dan tegar. Pil yang dicari untuk ditelan sebenarnya tiada. Hanya Allah yang ada untuk mengadu agar dibuang jauh rasa malas itu. Ketabahan itu bukan semata-mata tabah, tetapi tabah yang memerlukan iltizam dan semangat. Tabah supaya tidak dibiarkan rasa malas itu berlarutan dan menguasai diri. Biar kita dapat kekang rasa malas itu supaya tidak merebak dengan ketabahan kita.
Nilai. Maka disitulah nilainya pada rasa malas itu. Untuk mendidik rasa dan diri untuk tabah dan terus berjuang untuk memerintah akal dan hati sendiri. Tatkala kita rajin, semua benda terasa mudah untuk dilakukan. Belajar menjadi mudah, untuk beribadah tidak susah malah sangat bersemangat dan rajin untuk beribadah, tanpa perlu disuruh dan dipaksa. Apabila malas mula menjelma, kadangkala banyak alasan yang terlafaz dibibir sebagai penutup rasa malas itu. Maka disitulah nilainya malas. Saat hati terasa berat, maka perlu menggagahkan diri untuk melawan rasa, maka itulah nilai tarbiyahnya. Tarbiyah yang luar biasa untuk mendidik jiwa yang bebas merdeka agar tabah dan gigih berjuang mempertahankan iman dan mengekang nafsu. Itulah nilainya. Bila terasa sukar, kita gagahkan diri, maka nilainya kita biarkan Allah untuk menghakiminya. Yang penting kita terus berusaha untuk tabah.
Positif. Malas itu mempunyai nilai untuk membentuk diri kita. Hadapi serangan rasa malas dengan positif dan optimis untuk tabah dan berjuang. Insyaallah, ada nilainya dalam melatih dan membentuk diri kita menjadi muslim yang unggul. Allah mengirimkan malas itu sebagai ujian buat kita untuk sentiasa ingat kepada-Nya, bukan sebagai satu perkara yang sia-sia, namun jangan kita dibinasakan oleh rasa malas itu. Selamat bermujahadah melawan rasa malas. Pesanan semata-mata buat diri sendiri yang diserang virus malas
No comments:
Post a Comment