Seorang remaja penuh semangat mengeluarkan kata-kata yang sangat puitis lagi menarik.
"Cintaku hanya untuk-Mu, Ya Allah.."
Slogan yang ditulis oleh seorang remaja, yang penuh keinsafan.
"Cinta akan Allah sebelum cinta akan hamba-NYA."
Seorang sahabat menasihati sahabatnya yang lain. Mungkin kebanyakan kita pernah terbaca atau terdengar ungkapan ini dan dengan penuh keyakinan kita menyokong dan menyetujuinya.
Namun, pernahkah kita terfikir sejenak dan sedalam-dalamnya sejauh mana makna dan maksud yang terkandung dari ungkapan tersebut.
Jika diselidiki, kebanyakan yang mengungkapkan ayat-ayat seperti ini terdiri daripada remaja yang pernah mengalami kekecewaan dalam cinta makhluk, ataupun ada juga remaja yang mengungkapkannya untuk menenangkan hati mereka sendiri, dek kerana lonjakan serta galakan jiwa remaja yang sedang bergelodak, ibarat api yang sedang membara, dan ia dijadikan sebagai air untuk memadamkan api tersebut.
Secara umumnya, ayat-ayat ini tiada masalah sedikit pun daripada segi maknanya, namun sedikit penelitian perlu diambil perhatian agar ayat yang mempunyai isi kandungan yang baik ini, tidak disalah ertikan, bahkan lebih bahaya jika digunakan di tempat yang salah.
"Perkataan kebenaran yang dimaksudkan (diinginkan) kebatilan." [Ali b. Abi Talib]
Maksud asal ungkapan itu benar dan tepat dari segi syarak, namun maksud orang yang melafazkannya adalah di luar landasannya.
Sama-sama kita renungkan dalil-dalil berserta penerangan yang akan dibentangkan di bawah, bagi merungkai kebuntuan dan salah faham berkenaan "ayat-ayat cinta" di atas.
Daripada Anas b. Malik, daripada Nabi S.A.W telah bersabda:
"(Seseorang kamu tidak beriman (masih tidak sempurna Iman) sehingga Allah dan Rasul-NYA lebih disayanginya (dicintainya) daripada apa yang selain kedua-dua itu (Allah dan Rasul-NYA)...)"
[Musnad Ahmad No.13991, Sheikh Shu'aib al-Arnouth menilai: Isnadnya Sahih mengikut Syarat Al-Bukhari dan Muslim]
Hadis ini menerangkan dengan jelas keutamaan untuk meletakkan Cinta dan Kasih Sayang kita kepada Allah dan Rasul-NYA melebihi segala-galanya, namun perlu diperhatikan Nabi S.A.W meletakkan rangkaian iaitu mencintai Allah (didahulukan) dan kemudian Rasul-NYA, bermaksud Baginda S.A.W mengingatkan kita supaya tidak pernah memutuskan dua rangkaian ini dalam perasaan cinta dan kasih sayang kita.[Musnad Ahmad No.13991, Sheikh Shu'aib al-Arnouth menilai: Isnadnya Sahih mengikut Syarat Al-Bukhari dan Muslim]
Ibarat lagu dan irama, kedua-duanya tidak boleh sama sekali dipisahkan, jika dipisahkan juga pincanglah kehidupan dan cacatlah kesempurnaan Iman kita kelak.
Sebagaimana dua kalimah syahadah yang sentiasa diucapkan di bibir kita, turut merangkaikan dua penyaksian bagi melengkapkan keISLAMan kita;
"Aku bersaksi bahawa Tiada tuhan (yang layak disembah) kecuali Allah (sahaja), dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu utusan Allah."
Justeru, "ayat-ayat cinta" di atas, perlu sedikit dibaik pulih agar sesuai dan berketepatan dengan hadis dan anjuran Nabi S.A.W iaitu merangkaikan Cinta Allah dengan Cinta Rasul-Nya.
Beberapa persoalan timbul, adakah Cinta Allah dirangkaikan dengan Cinta Rasul-NYA tidak boleh mempunyai kaitan dengan cinta kepada makhluk?
Adakah benar, Cinta Allah dan Rasul-NYA perlu disempurnakan terlebih dahulu, sebelum mendapatkan cinta makhluk?
Cuba kita singkapkan kembali sejarah penciptaan manusia, Allah menciptakan Adam pada mulanya, dan diciptakan Hawa selepas itu sebagai teman hidupnya, dimasukkan fitrah cinta dan kasih sayang sesama mereka. Oleh itu, perasaan yang kita miliki turun temurun ini bukanlah satu kesalahan atau dosa, bahkan semuanya untuk kebaikan dan kepentingan diri kita sendiri.
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." [Ar-Rum, ayat 21]
Namun setiap kebaikan mampu menjadi keburukan jika salah aplikasinya, ibarat seorang mekanik motor yang mempunyai kemahiran tinggi, menggunakan kepakarannya untuk mengubahsuai motor bagi kegunaan mat rempit, maka berubahlah manfaat kepada mudarat.Demikianlah juga cinta kepada makhluk, fitrah untuk manfaat, bukan fitnah untuk mudarat, yang penting mengikut saluran yang betul dan garis panduan yang telah Allah dan Rasul-NYA tetapkan.
Untuk persoalan kedua, akan terjawab dengan persoalan ini, adakah kita berkemampuan mendapatkan Cinta Allah dan Rasul-NYA secara sempurna sepenuhnya, bukankah manusia tidak pernah sunyi daripada membuat dosa? Bahkan dikuatkan lagi dengan hujah bahawa tahap keimanan kita juga ada turun dan naik sebagaimana air pasang surut, dan itu juga lumrah yang Allah ciptakan kepada kita.
"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika kamu semua (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (sunnah-sunnahku), nescaya Allah akan mengasihi kamu dan mengampunkan dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". [Surah Ali-Imran, ayat 31]
Ayat ini jelas menerangkan, perkaitan antara Cinta Allah dan Rasul-NYA, bermula dari mencintai Rasulullah S.A.W dengan mengikuti sunnah-sunnah Baginda S.A.W tanpa mempertikaikan atau mempersoalkan apabila jelas kebenarannya.Jika hal ini dilaksanakan dengan penuh perhatian, dengan sendirinya Allah akan mencintai dan mengasihi kita, tanpa kita perlu mengungkapnya dengan "ayat-ayat cinta" di atas, bahkan Allah memberi bonus yang lebih hebat, iaitu dijanjikan pengampunan dosa, sebagai ganjaran besar kerana mengikut sunnah Rasul-NYA.
Kesempurnaan Cinta Allah dan Rasul-NYA adalah mustahil, namun mendahului Cinta Allah dan Rasul-NYA adalah perlu. Inilah maksud hadis yang telah diterangkan sebentar tadi dan ayat di atas ini bahawa setiap yang kita lakukan di dunia ini adalah sebagai bekalan di akhirat dan mestilah berpandukan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W sebagaimana yang diwahyukan oleh Allah S.W.T. Itulah bukti besar Cinta kita kepada Allah dan Rasul-NYA, tanpa melebihkan sesuatu selain kedua-duanya.
Secara ringkasnya, Cinta Allah akan diperolehi dengan sendirinya, jika Cinta Rasul-NYA dititikberatkan sepenuh hati. Insya-Allah.
Apakah pula kaitan cinta Allah dan Rasul-Nya dengan cinta makhluk?
Begitulah halnya kaitan dengan cinta makhluk, disebut dalam satu hadis berkenaan tiga orang yang datang bertanya isteri-isteri Nabi S.A.W berkaitan hal ibadah Baginda S.A.W di rumah, selepas mendengar hal tersebut, mereka mula berfikir bahawa Nabi S.A.W yang telah diampunkan segala dosa, begitu kuat ibadahnya, bagaimanalah nasib mereka jika dibandingkan dengan Nabi S.A.W.
Lantas salah seorang dari mereka mengatakan bahawa akan solat sepanjang malam (tanpa tidur) selama-lamanya, seorang lagi mengatakan bahawa akan berpuasa sepanjang hari tanpa berbuka, dan seorang lain pula mengatakan bahawa akan menjauhkan diri dari wanita-wanita, dan tidak akan berkahwin selama-lamanya. Pada ketika itu Nabi S.A.W telah datang, dan bersabda:
"Kamukah yang telah berkata begini dan begini (sebagaimana yang mereka katakan sebentar tadi), DEMI ALLAH, aku adalah orang yang paling takut dan bertaqwa kepada Allah dari kalangan kamu semua, akan tetapi AKU BERPUASA dan BERBUKA, AKU SOLAT (malam) dan AKU BERBARING (tidur), AKU JUGA MENGAHWINI WANITA-WANITA, Sesiapa yang benci akan sunnahku, maka bukan dari kalanganku (yakni bukan umatku)."
[H.S.R al-Bukhari 5063, Muslim 3384, Ahmad 13568, an-Nasa'I 6/60]
Hadis panjang ini jelas menunjukkan kepentingan mengikut sunnah Nabi S.A.W, termasuk cinta makhluk mengikut saluran yang betul, iaitu BERKAHWIN.[H.S.R al-Bukhari 5063, Muslim 3384, Ahmad 13568, an-Nasa'I 6/60]
Dalam hadis lain juga disebut galakan berkahwin iaitu saluran betul untuk cinta makhluk, hadis berbunyi:
"Wahai sekalian pemuda-pemuda: Sesiapa di antara kamu yang mampu nikah (disebut dalam syarah makna hadis ini, "Nikah" bererti jima', nafkah dan mahar"), maka berkahwinlah; kerana sesungguhnya ia (kahwin) lebih menundukkan pandangan, lebih menjaga kemaluan. Dan jika dia tidak mampu, maka (digalakkan) berpuasa; itu adalah penjagaan baginya." [al-Bukhari 1905, Muslim 1400]
Sunnah Nabi S.A.W adalah sesuatu yang syumul (lengkap dan sempurna) meliputi segala aspek kehidupan di dunia dan untuk akhirat. Cinta Makhluk dan pelbagai lagi isu kehidupan semuanya terkandung dalam Sunnah Nabi S.A.W, maka jika kita mengabaikannya, kita tidak mengikut sunnah, bagaimana hendak memperolehi cinta Allah?Kesimpulannya, Cinta Allah adalah Cinta Teragung, namun dalam membicarakannya adakah kita di landasan yang betul atau sekadar mengikut fikiran kita tanpa berpandukan Kitab-NYA dan Sunnah Rasul-NYA, yang telah jelas menerangkan perkaitan antara Cinta Allah, Cinta Rasu-NYA dan Cinta Makhluk yang menjadi pecahan kecil dalam Cinta Rasu-NYA...
Akhir sekali, tiadalah lagi masalah atau perbalahan tentang Cinta Allah adalah segala-galanya, bahkan dianjurkan sedikit pengubahsuaian dari segi ungkapan ayat tersebut iaitu "Aku mencintai Allah dan Rasul-Nya dan aku mencintai makhluk pula mengikut anjuran Rasul-Nya berlandaskan al-Quran dan Sunnah."
Namun, jangan disalah ertikan pula kandungan artikel ini, bukan untuk mempromosikan Cinta Makhluk tanpa batasan, segala-galanya telah diterangkan sebelum ini dalam artikel "Cinta Halal dan Hikmah Istikharah" berkenaan cara-cara cinta makhluk yang sebenarnya mengikut landasan al-Quran dan Hadis. Sila rujuk artikel tersebut untuk mengetahuinya secara lebih lanjut. Wallahu'alam.
-Artikel iluvislam.com
No comments:
Post a Comment