Dalam ayat 135 surah Ali Imran, Tuhan menjelaskan sifat baik di kalangan orang beriman yang ‘ashi, apabila melakukan perkara keji dan mendedah diri kepada bahaya api neraka. Lalu mereka ingat dan beristighfar kepada Allah SWT. Mereka bertaubat kepada Allah kerana derhaka kepada-Nya, dengan anggota yang dikurnia oleh Allah SWT. Menderhaka dengan mata kerana memandang perkara yang haram. Menderhaka dengan lidah kerana mengumpat serta berkata perkara haram. Derhaka dengan mulut kerana makan rezeki yang haram. Semua anggota tubuh badan adalah kurniaan Tuhan, yang sepatutnya digunakan untuk taat dan berbakti kepada-Nya, bukan sebaliknya.
Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian dia mohon ampun kepada Allah, nescaya dia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.“ (Surah An-Nisa ayat 110)
Allah berfirman dalam surah Al-Taubat,ayat 118, “Kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”
Syarat Taubat Diterima.
Syarat taubat yang mesti dipenuhi oleh seseorang yang ingin bertaubat adalah sebagai berikut:
- Taubat dilakukan dengan ikhlas, bukan kerana makhluk atau untuk tujuan duniawi.
- Menyesali dosa yang telah dilakukan dan tidak ingin mengulanginya kembali.
- Tidak terus menerus dalam berbuat dosa. Dan jika berkaitan dengan hak manusia, maka ia segera menunaikannya atau meminta maaf.
- Bertekad untuk tidak mengulangi dosa tersebut lagi kerana jika seseorang masih bertekad untuk mengulanginya maka itu pertanda bahawa dia tidak benci kepada maksiat.
- Taubat dilakukan pada waktu diterimanya taubat iaitu sebelum datang ajal atau sebelum matahari terbit dari arah barat. Jika dilakukan setelah itu, maka taubat tersebut tidak lagi diterima.
Orang yang bertaubat akan digantikan dengan kebaikan bagi kesalahan yang pernah dilakukan. Allah Ta’ala berfirman, ”Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh; maka itu kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al Furqon: 70)
Al Hasan Al Bashri mengatakan, ”Allah akan mengganti amalan kejahatan yang dilakukan oleh seseorang dengan amalan soleh. Allah akan menggantikan kesyirikan yang pernah dilakukan dengan keikhlasan. Allah akan menggantikan perbuatan maksiat dengan kebaikan. Dan Allah pun menggantikan kekufurannya dahulu dengan keislaman.”
Tanda taubat diterima Allah
- Bagi hamba-hamba yang bertaubat itu bila dia merasakan di dalam dirinya masih ada dosa-dosa yang masih belum terhakis.
- Hatinya lebih tenteram dan suka mendekati orang-orang yang soleh daripada mendekati mereka-mereka yang fasik.
- Bila dia merasakan di dalam dirinya telah hilang perasaan gembira, sebaliknya sentiasa datang perasaan sedih kerana takutkan azab Allah.
- Bila dia melihat pada dirinya yang sentiasa sibuk dengan menunaikan kewajipan terhadap Allah .
- Sungguhpun sedikit rezeki yang diperolehinya di dunia ini namun dia tetap melihatnya banyak, tetapi walaupun banyak amalan untuk akhirat yang telah dikerjakannya namun ia tetap merasa sedikit.
- Bila dia melihat pada dirinya yang sentiasa menjaga lidah dan ucapannya, sering bertafakur dan selalu berada di dalam keadaan sedih dan menyesal.
Segala perlakuan bermula daripada anggota zahir atas dorongan hati. Jika bertasbih dan beristighfar terbit daripada sanubari insaf, hasil daripada sikap tersebut dalam jangka masa yang tidak lama, akan terbit rasa malu kepada diri untuk mengingkari istighfar yang diucapkan.
Dalam hadith Riwayat Muslim, Rasulullah bersabda, “Aku bertaubat lebih daripada 70 kali dalam satu hari.” Rasulullah yang diciptakan Allah dengan sifat-sifat maksum, sering bertaubat kepada Allah meskipun telah dijanjikan syurga dan menjadi kekasihNya. Oleh itu, kita sebagai hambaNya yang lemah dan sering alpa kepadaNya, haruslah bertaubat demi mengejar keredhaan Allah dan kebahagiaan di akhirat nanti.
Semoga Allah menerima setiap taubat dan keampunan kita. Semoga Allah senantiasa memberi taufik kepada kita untuk menggapai redha-Nya. Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya segala kebaikan menjadi sempurna
No comments:
Post a Comment