Aktiviti berfikir jauh lebih besar pahalanya daripada menunaikan solat sunat, oleh itu jom kita buka minda kita dan berfikir tentang apa yang kita lakukan setiap hari supaya kita tidak tergolong di dalam golongan mereka yang menjadi pak turut atau taqlid di dalam ibadat dan lain-lain pekerjaan kita. Fikir sekadar yang mampu.
Membiarkan diri tidak berfikir sangat merugikan kerana tanpa berfikir mungkin kita akan melakukan kesilapan atau kesalahan, manakala semua kesilapan dan kesalahan itu pula akan dikira dan dinilai Allah Taala.Tanpa berfikir juga akan mengakibatkan kemunduran di dalam berbagai bidang dan aktiviti kehidupan, sejak sebelum merdeka orang Melayu telah bergaul dan bermuamalah dengan orang Cina dan India, mereka berfikir tentang pertuturan dalam bahasa Melayu, kini mereka boleh bercakap bahasa Melayu dengan lancar, sedangkan kita tidak berfikir seperti mereka maka kita tidak mampu bertutur di dalam bahasa mereka walaupun kita telah bergaul mesra dengan mereka kurang lebih 60 tahun yang lalu.
Baiklah kita lupakan dahulu mengenai hal pertuturan bahasa Cina dan India itu. Jom kita fikir mengenai perkara yang tercatat di bawah ini.
Maksud doa iftitah.
Segala Kebesaran dan Kepujian adalah untuk Allah sebanyak-banyaknya.
Maha Suci Allah setiap pagi dan petang.
Aku menghadapkan mukaku kepada (Tuhan) yang menjadikan langit dan bumi,
dengan keadaan tunduk menyerah diri dan bukannya aku termasuk dalam golongan orang musyrik.
Sesungguhnya Solatku, Ibadatku, Hidupku dan Matiku hanya untuk Allah Tuhan sekalian Alam.
Tiada Sekutu Baginya kerana itu aku rela diperintah dan aku ini adalah termasuk golongan orang Islam. Membaca dan menilai.
Semestinya doa iftitah ini dibaca di dalam bahasa Arab, mungkin bagi mereka yang tidak mempelajari bahasa Arab sukar hendak memahaminya dengan baik tetapi mereka tidak perlu bimbang kerana mereka masih dapat memahaminya secara am atau mengetahuinya sekadar mampu membuat kesimpulan dari bacaan tersebut.
Sekurang-kurangnya kita menyedari bahawa segala pujian hanya layak untuk Allah sahaja, Allah itu Maha Suci dan Allah jua yang menjadikan langit dan bumi serta sekalian alam ini.Kita menyerah diri kepada-Nya sebagai hamba yang merendahkan diri yang sentiasa mentauhidkan-Nya ( sama sekali tidak mensyirikkan dan menyengutukan-Nya ).
Dan kita juga mengaku bahawa solat, ibadat, hidup dan mati hanya untuk Allah Tuhan sekalian alam ( Inilah asas dan cara hidup Islam ). Mengaku tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain dan rela diperintah di bawah kekuasaan dan peraturan Allah dan seterusnya kita mengaku bahawa kita adalah orang Islam.
Demikian maksud secara ringkas merujuk kepada doa iftitah yang dibaca setiap kali menunaikan solat. Persoalannya adakah kita merealisasikannya di dalam kehidupa kita di luar solat, jika tidak, tidakkah kita termasuk di dalam golongan orang yang berdusta kepada Allah, sedangkan sebanyak lima kali dalam tempoh sehari semalam kita membuat pengakuan tersebut. Adakah kita sangat bijaksana sehingga memilih cara hidup yang berlawanan dengan peraturan Allah Taala.
Merealisasikan kehidupan secara Islam bukan hanya dituntut di peringkat individu atau kampung-kampungan sahaja, malah dituntut di peringkat daerah, negeri dan negara serta menjurus ke peringkat global kerana Islam itu diturunkan oleh Allah bukan ciptaan manusia, Allah Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa serta mempunyai sifat-sifat kesempurnaan yang lain.
__________________________________________
Saranan untuk berfikir - Berfikir tuntutan Allah.[189]
Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintah langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[190]
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;
[191]
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.
[192]
Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun;
[193]
Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ‘, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;
[194]
Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.
[195]
Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan ugamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan ugamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) – sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)”.( Surah Ali.Imran )
Sekian ... wallahu aklam.
No comments:
Post a Comment